26 March 2012

Ringkasan Ketamadunan Zaman Rasulullah S.A.W.

Pada umumnya, tamadun manusia telah wujud semenjak Nabi Adam a.s dicipta oleh Allah s.w.t. Perkara utama yang diberikan kepada Nabi Adam adalah ilmu pengetahuan yang tidak dapat ditandingi oleh ilmu para malaikat (al-Baqarah 2: 31-32).

Ilmu inilah asas kecemerlangan ummah dan paksi kepada kekuatan Islam. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, satu ciri terpenting pembinaan tamadun manusia yang dicapai ketika itu ialah pembentukan Madinah sebagai pusat ilmu dan elemen perpaduan antara kaum yang wujud secara praktikal.

Masjid Nabawi, Madinah...

Sejarah Islam memperlihatkan Madinah telah menjadi satu pusat yang penting dalam penyebaran ilmu ke segenap pelusuk yang boleh dicapai ketika itu. Ini termasuklah ke segenap daerah al-Jazirah, al-Sham, Iraq, Euthopia dan Mesir. Dari aspek perpaduan, ia dapat dilihat ketika mana Nabi Muhammad s.a.w membuat satu perjanjian yang dikenali sebagai Piagam Madinah dalam mendirikan sebuah negara yang menjadi pelindung kepada rakyat.

Piagam yang mengandungi 47 Fasal tersebut diiktiraf sebagai model bertulis yang
pertama wujud dalam dunia. Kandungan piagam tersebut
secara ringkas adalah seperti berikut:

1. Kaum Yahudi hendaklah hidup berdamai dengan kaum Muslimin; kedua
belah pihak bebas mengamalkan ajaran masing-masing.

2. Kaum Muslimin dan Yahudi wajib mempertahankan kota Madinah dari
serangan musuh dan bekerjasama melawan sesiapa sahaja yang memerangi
mereka.

3. Perdamaian dengan pihak lain hendaklah mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.

4. Sesiapa yang tinggal di luar kota Madinah akan dilindungi kecuali orang
yang zalim dan bersalah.

5. Sekiranya timbul perselisihan antara kaum Yahudi dan Muslim maka
penyelesaiannya hendaklah dirujuk kepada Allah (al-Kitab) dan Rasul di
mana Rasulullah s.a.w adalah pemimpin umum penduduk Madinah.

Berdasarkan kepada sirah ini, dapat disimpulkan bahawa elemen ilmu
merupakan dasar kepada pembinaan masyarakat yang bertamadun. Manakala perpaduan antara kaum adalah manifestasi daripada kejayaan negara Islam Madinah dalam memberi perlindungan kepada semua rakyat tidak kira agama, bangsa mahupun warna kulit. Praktik para anbiya’ ini menjadi dorongan dan contoh kepada umat Islam untuk terus mencetuskan tamadun yang gemilang seperti saat penguasaan Islam terhadap wilayah-wilayah dunia di timur dan barat.

No comments:

Post a Comment