27 April 2012

MUHASABAH BANGSA


MUHASABAH BANGSA

Dari mana asal usulnya
Dari Funan ada datangnya
Dataran China kata sebahagiannya
Rupa mirip sedemikian parasnya

Orang Melayu diberi nama
Dikepulauan Riau, Sumatera dan Jawa
Ada juga di Filipina dan di Singapura
Di Madagascar dan di Sri Lanka pun dikata ada

Walau apa pun asal keturunannya
Yang pasti moyangnya Adam dan Hawa
Terbukti sudah dalam penyelidikan yang ada
Keturunan Melayu di mana asal mulanya

Yang di Semenanjung Melayu dikenal sudah
Orang Melayu agak terserlah
Bersikap pasifis dan mengambil mudah
Sebegitu katanya cendekiawan penjajah

Dari Parameswara catatan sejarah
Detik bermula cerita digubah
Epik terkenal dengan pahlawan Hang Tuah
Katanya Melayu tak hilang mudah

Sudah berlalu beratus tahun
Sebanyak mana pengalaman  terhimpun
Orang Melayu dan mereka yang serumpun
Sebanyak manakah tercapai tamadun?


(kisah ini dipetik daripada buku Revolusi Mental)
Al-kisah pada suatu hari seekor serigala yang kurus dan kelaparan bertemu dengan seekor anjing yang gemuk tembun. Serigala menceritakan kepada anjing itu segala derita dan keperitan hidupnya dalam mencari makanan. Mendengar kisah sedih itu, anjing tersebut  mempelawa serigala itu untuk hidup bersamanya supaya boleh mendapat makanan dengan mudah dan mewah daripada tuannya. Serigala bersetuju dengan ajakan ini. Sedang mereka berjalan menuju ke rumah tuan anjing itu, serigala ternampak rantai di leher anjing dan bertanya apa kegunaan rantai itu. Sang anjing menjawab bahawa pada malam hari ia akan dirantai dekat pintu rumah untuk menjaga rumah tuannya. Mendengar kata-kata anjing itu, serigala pun mengucapkan selamat tinggal kepada anjing itu sambil berkata, “biarlah aku hidup miskin dan kelaparan asalkan aku tidak dirantai dan hidup bebas.”

Muhasabah Bangsa, Puisi Cetusan Rasa, Sempena 50 Tahun Merdeka oleh Rahmah Mohd Rashid dan Ghafarullahhuddin Din
Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) UITM 2007